Wednesday, October 05, 2005

Brain soup

Check out this an article in Metro Ahad (2 Oct 2005) about my story on Medik TV. No mentioning my name, hmph!

Peluang saksi bedah otak
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN (although 75% taken from my script)

SEMALAM, seorang kenalan memberitahu penulis, dia lewat tiba di lokasi berkumpul bersama beberapa rakan sebelum berkonvoi ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Selangor dan Perlis.

Ketika ditanya apa membuatkan dia terlewat, dengan selamba dia memberitahu, dia leka menonton rancangan Medik TV. Rancangan episod kesembilan untuk musim keempat pada hari itu memaparkan rawatan tumor (ketumbuhan) otak.

“Melalui rancangan itu, saya pertama kali melihat bagaimana tempurung manusia dipotong dan seterusnya visual otak berdenyut. Lebih mengerikan apabila pakar bedah mengeluarkan tumor dari otak pesakit ketika otak berdenyut,” kata rakan penulis.

Bermula jam 5 petang, selama setengah jam menonton rancangan berkenaan, rakan penulis mengakui kecanggihan teknologi memungkinkan segala-galanya dan setidak-tidaknya dia mendapat maklumat berguna mengenai permasalahan tumor otak.

Namun, apa yang rakan penulis rasakan jauh berbeza daripada apa dirasakan Go Hong Lang, pesakit tumor otak yang pada mulanya langsung tidak menyedari ada ketumbuhan di otaknya.

Episod ‘mendebarkan’ Go, 65, bermula dua minggu lalu apabila dia tiba-tiba hilang keseimbangan badan dan terjatuh ketika melakukan kerja rumah.

Akibat insiden itu, dia dibawa keluarganya ke Hospital Pakar Ipoh bagi mendapatkan rawatan dan ketika merujuk kepada Pakar Perubatan Saraf, Dr Zakaria A Kadir, beliau mengesyaki Go menghidap angin ahmar.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati ada tumor di dalam otak warga emas itu.Sebagai langkah awal, Go diberi rawatan terapi dan perlu mengambil ubat-ubatan.

Namun seminggu selepas itu, Go tidak menunjukkan perubahan positif.

Go masih sukar mengimbangi badan, malah dia juga mengalami masalah koordinasi, penglihatan dan pendengaran akibat tumor di otaknya.

Tanpa menunggu lama, Dr Zakaria merujuk kes Go kepada pakar bedah otak, Dr Fadzli Cheah Abdullah kerana Go memerlukan pembedahan segera.

Dr Fadzli berkata, ada 126 jenis ketumbuhan otak, yang mana kebiasaannya ketumbuhan itu berasal daripada sel otak.

“Bagi kes Go, dia ada empat tumor yang terletak di tiga bahagian berasingan di otaknya dan kes seumpama ini jarang berlaku,” katanya.

Dr Fadzli berkata, ketumbuhan yang ada tidak masuk ke dalam otak dan keputusan pemeriksaan menunjukkan ia boleh dibuang.

Katanya, risiko pembedahan pada tangkai otak antara 20 hingga 30 peratus. Oleh itu, hanya bahagian yang berisiko paling rendah akan dibedah dan beliau berharap dapat mengesan jenis ketumbuhan di otak Go bagi memberikan rawatan sesuai.

Selepas sesi diagnosis awal bagi memastikan keadaan pesakit, Dr Fadzli memutuskan Go wajar menjalani pembedahan untuk merawat penyakit tumor otaknya.

Kedudukan

Untuk proses pembedahan, kaedah ‘craniotomy’ iaitu pembedahan membabitkan pembukaan sebahagian kecil tempurung kepala bagi membuang tumor di otak, digunakan.

Keputusan CT Scan juga digunakan bagi mengenal pasti kedudukan tumor. Namun, pakar bedah masih sukar menentukan bahagian terbaik untuk melakukan insisi bagi mengeluarkan tumor dengan mudah.

Disebabkan itu, sistem berkomputer canggih dikenali sebagai Image Guided System yang menghasilkan imej 3D dari pelbagai sudut digunakan, sekali gus membantu Dr Fadzli merancang prosedur pembedahan dengan teliti.

Yang pasti, penggunaan sistem itu banyak membantu kerana ia mengesyorkan bahagian otak yang terbaik untuk dibedah bagi mengeluarkan tumor dengan mudah.

Pada masa sama, sejenis alat dikenali sebagai ‘Mayfield’ digunakan bagi menstabilkan kepala Go kerana pakar bedah perlu memastikan tiada pergerakan kepala berlaku ketika pembedahan.

Langkah persiapan turut membabitkan imbasan kepala pesakit menggunakan alat pemancar ‘infrared’ yang membantu menghasilkan imej kepala dan keadaan otak pesakit.

Ketika proses pembedahan dimulakan, pesakit diberi bius dan tebukan, kemudian dilakukan dengan alat drill (gerudi) dikenali ‘high speed craniotome’ sehingga membentuk sebuah lubang.

Dalam keadaan otak berdenyut, otak Go didapati membengkak dan memenuhi bahagian ruang dalam tempurung disebabkan tekanan tumor yang tumbuh di dalam otaknya.

Merujuk kepada pemeriksaan CT Scan dan Image Guided System, tumor dianggarkan terletak kira-kira tiga sentimeter ke dalam otak.

Pakar bedah menggunakan kaedah pembedahan dikategorikan sebagai ‘minimally invasive microsurgery’ kerana kawasan terbabit sangat kecil dan memerlukan pakar bedah menggunakan mikroskop yang mempunyai kadar penglihatan berganda.

Selepas menggunakan kaedah itu, Dr Fadzli berjaya mengeluarkan tumor pertama yang kelihatan seperti batu, diikuti tumor kedua dari bahagian depan otak.

“Permukaan tumor yang keras menandakan ia mengandungi kalsium,” kata Dr Fadzli.

Tempurung kepala Go ditutup semula menggunakan besi dan skru titanium yang terbukti selamat jika dibiarkan pada badan pesakit buat selama-lamanya, selain tiada kesan sampingan.

Secara keseluruhan, Dr Fadzli menyifatkan pembedahan selama dua jam itu berjaya.Katanya, walaupun berjaya mengeluarkan tumor dan sel otak tidak normal, masih ada kemungkinan wujud semula tumor pada bahagian sama.

“Yang mustahak, kita nak tahu jenis tumor itu. Ada jenis tumor yang tak tumbuh balik. Terpulang kepada jenisnya.

“Kalau barah, lagi teruklah dia nak jadi balik. Namun tumor yang ini, insya-Allah tak tumbuh balik,” katanya.

Sehari selepas pembedahan, Go beransur pulih dan hasil uji kaji terhadap tumor yang berjaya dikeluarkan menunjukkan ia bukan barah.

Sebagai peringatan, tiada garis panduan untuk mencegah tumor otak.

Sebagai langkah keselamatan, anda perlu jalani pemeriksaan doktor jika kerap diserang sakit kepala, epilepsy (sawan), kekejangan otot dan tidak sedarkan diri, gangguan percakapan, kesukaran menggerakkan kaki dan tangan serta hilang ingatan ke atas hal terbaru.

Tanda lain ialah kemerosotan proses mental, hilang penglihatan, terutama penglihatan periferi, hilang daya imbangan, terutama jika ia dikaitkan dengan sakit kepala, lemah atau kebas sebelah badan dan gangguan ingatan atau perubahan personaliti.

No comments: